Pengenalan
Bingkisan Permata ini terdiri
daripada 4000 rangkap pantun daripada pelbagai jenis bentuk, yang meliputi tema
dan isi yang luas. Menurut Harun Mat Piah (2001) Bingkisan Permata merupakan
tajuk kecil daripada judul koleksi ini yang disesuaikan dengan konsep
‘bingkisan’ dalam tradisi dan budaya Melayu. Bingkisan bermakna hadiah atau
cenderamata yang disampaikan bersama warkah atau surat. Analoginya ialah sebuah
cerana perak yang diisikan dengan batu-batu permata yang pelbagai jenis dan
warna, dihias dan digubah, disertakan dengah sepucuk surat untuk disampaikan
kepada seseorang yang dikasihi dan dihormati.
Gubahan permata
itu adalah pantun-pantun yang diwarisi oleh masyarakat dan tradisi Melayu sama
ada pada masa lampau atau masa kini. Terdapat empat pecahan yang dibincangkan
dalam karya ini iaitu Bingkis Pemula
(Awal Bismillah Pembuka Bicara), (Alam dan Kehidupan dan Kanak-kanak) dan (Teka-teki, Jenaka dan Sindiran), Bingkis Bicara (Adat dan Estetika),
(Budi dan Adab), (Agama dan Pengajaran), (Peribahasa, Kiasan dan Ibarat) dan
(Perantauan dan Nasib), Bingkis Kasih
(Cinta Bersemi), (Hasrat Tercapai) dan (Cinta Terhalang) manakala yang terakhir
ialah Bingkis Penutup (Tanggapan dan
Renungan), (Salam Perpisahan) dan (Harapan)
Isi & Mesej
a. Dalam
hidup ini, sebagai manusia yang mempunyai agama dan Tuhan setiap pekerjaan yang
kita lakukan hendaklah berserah kepada
Allah yang Esa kerana pada-Nya kita bergantung harap dan meminta
pertolongan. Kita tidak boleh menduakan Allah kerana itu digelar perbuatan
syirik. Namun begitu, sebelum kita bertawakal kepada Allah kita haruslah
berusaha sehingga ke titisan darah yang terakhir dan selepas itu barulah kita
bertawakal kepada Allah kerana niat yang
ikhlas pasti akan diberkati. Mesej yang ingin disampaikan berdasarkan
rangkap-rangkap pantun di bawah:
Angin
bertiup kembangkan layar,
Haluan
menuju ke Pekan;
Hendaklah hidup berikhtiar,
Kemudian serahkan kepada Tuhan.
b. Dalam
hidup ini, kita dengan mudah akan
memperoleh kawan yang terdiri daripada pelbagai tempat dan asal. Namun
begitu, untuk mencari kawan yang selalu ada di samping kita ketika susah dan
senang amatlah sukar. Kebiasaannya kawan untuk berkongsi gelak ketawa senang di
cari namun apabila kita kesedihan atau kesusahan mereka lari meninggalkan kita
seperti rangkap-rangkap pantun di bawah:
Dari Jawa ke Bangkahulu,
Membeli keris di Inderagir;
Kawan ketawa
ramai selalu,
Kawan
menangis seorang diri.
c. Sebagai
masyarakat, kita haruslah sentiasa hidup
bersatu padu. Hal ini kerana apabila kita bersatu padu, kita akan hidup
dalam keadaan yang aman dan tanpa sengketa. Jika masyarakat tidak bersatu padu,
negara akan berada dalam keadaan tidak tenang dan peperangan akan sentiasa
berlaku. Oleh itu, bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku kita
sebagai masyarakat haruslah bersatu padu tidak kira dalam sebarang situasi
seperti dalam rangkap-rangkap pantun di bawah:
Dari Barat pergi
ke Kampar,
Kapal belayar dengan lajunya;
Kita ibarat telur
sesangkar,
Pecah sebiji pecah
semuanya.
d. Pada
zaman sekarang kita dapat lihat bahawa fitnah
semakin berleluasa. Hal ini kerana pihak yang benar dipersalahkan dan pihak
yang salah menjadi benar. Disebabkan fitnah-fitnah ini, banyak pihak yang tidak
bersalah dan berdosa diaibkan dan menyebabkan maruah diri meraka tercalar.
Disebabkan fitnah juga, mereka yang tidak bersalah dipulaukan keluarga, kawan
dan masyarakat yang akhirnya boleh mencetuskan pergaduahan dan tidak mustahil
jika terjadinya pertumpahan darah disebabkan fitnah. Rasulullah S.A.W juga
berkata bahawa fitnah itu lebih besar dosanya daripada membunuh.
Alam pura Raja Mahkota,
Pergi berperang ke
negeri Basanah;
Ingat-ingat
mengeluarkan kata,
Zaman sekarang banyak
fitnah.
Datang sudah si kapal
perang,
Kapal menembak
bertali-tali;
Bila mendengar fitnah
orang,
Jangan dipakai sama
sekali.
e. Apabila
kita ingin menabur budi, janganlah dikira daripada rupa parasnya kerana budi
bukanlah dinilai daripada parasnya tetapi hati yang bersih dan ikhlas untuk menabur budi. Pendapat mengatakan
bahawa jika kita ikhlas melakukan sesuatu, nescaya paras rupa yang kurang elok
akan cantik dipandang orang dek budi yang disumbangkannya. Pendapat ini boleh
dilihat daripada rangkap-rangkap pantun di bawah:
Pucuk kaduk tepi perigi,
Buah
rambai atas peti;
Biar buruk rupa
diri,
Asal pandai mengambil
hati.
f. Kita juga haruslah
memuliakan pemerintah kerana pemerintah
merupakan tunjang utama bagi sesebuah kerajaan. Pemerintah merupakan orang yang
paling penting dalam membangunkan sesebuah kerajaan atau negara. Hal ini
disebabkan tanpa pemerintah yang bijaksana dan adil, sesebuah kerajaan atau
negara tidak akan dapat maju dan bergerak ke hadapan. Oleh itu, sebagai rakyat
yang baik kita perlulah sentiasa menyokong dan memuliakan pemerintah kerana
tanpa pemerintah kita tidak akan mempunyai sebuah negara yang berdaulat dan
dengan mudah akan ditindas oleh pihak luar. Pada zaman dahulu juga, masyarakat
sangat terkenal dengan adat istiadat untuk memuliakan pemerintah. Kaitannya
boleh dilihat daripada rangkap-rangkap pantun di bawah:
Tempa kapak dengan beliung,
Hendak tetak kayu
berduri;
Tuan di atas kemuncak
payung,
Kami di bawah menjunjung
duli.
g. Bahasa merupakan wadah
terpenting kepada masyarakat kerana tanpa bahasa
pincanglah masyarakat. Melalui bahasa juga masyarakat dapat berkomunikasi
antara satu sama lain. Masyarakat pada zaman dahulu juga amat mementingkan adat
yang sekaligus mempunyai kaitan dengan bahasa. Pada pendapat mereka seseorang
itu dikatakan berbudi bahasa apabila mengamalkan nilai adat yang tinggi.
Kepentingan bahasa ini dapat dilihat dari beberapa rangkap pantun di bawah:
Anak Cina bertimbang madat,
Dari Dakasar langsung
ke Deli;
Hidup di dunia
biar beradat,
Bahasa tidak terjual
beli.
h. Mesej
ini menyatakan bahawa, setiap wanita
perlulah bersikap positif iaitu tidak mudah
mempercayai lelaki dan tidak mudah terpedaya dengan kata-kata lelaki
yang kebanyakannya hanya ingin mempermainkan perasaan wanita. Mesej ini
digarapkan dalam pantun kerana perkara ini sudah menjadi perkara biasa yang
banyak dihadapi oleh kaum wanita.
i.
Ayam
denak dalam hutan,
Keluar makan padi paya;
Jinak-jinak
orang jantan,
Orang betina kena perdaya.
j.
Setiap
individu perlulah mengamalkan sikap jujur
dan tidak berbohong. Mesej ini menjelaskan bahawa, bersikap bohong merupakan
perkara keji dan seharusnya bersikap jujur dalam setiap perkara yang dilakukan
perlu disematkan dalam diri setiap individu. Orang Melayu sudah dididik dari
kecil supaya tidak berbohong kerana ada pepatah Melayu menyatakan bahawa, orang
yang suka berbohong akhirnya mencuri. Jelaslah bahawa, mesej yang disampaikan
dalam pantun terseut menegaskan bahawa, sikap bohong tidak patut diamalkan
dalam diri setiap individu.
Burung kenek-kenek,
Terbang pokok jambu;
Pesan datuk nenek,
Jangan suka bohong tipu.
Siakap
senohong gelama ikan duri,
Bercakap bohong
lama-lama mencuri.
k. Setiap
individu jangan mudah berputus asa.
Mesej yang disampaikan dalam pantun ini menyatakan bahawa, apabila melakukan
sesuatu perbuatan atau pun pelerjaan, mereka seharusnya bersabar dan tidak
mudah berputus asa. Setiap individu perlulah berusaha dengan bersungguh-sungguh
bagi mencapai sesuatu perkara yang diimpikan. Orang yang mudah berputus asa
merupakan orang yang sukar untuk berjaya dan tidak sanggup mengambil risiko
untuk berjaya.
Ikan belanak dalam tapisan,
Orang memburu di Kuala Dungun,
Ayuhai anak ingat pesanan,
Kalau jatuh cepatlah bangun.
l.
Kesungguhan
untuk melamar seorang wanita. Seorang lelaki yang
benar-benar mencintai seorang perempuan itu akan berusaha melamar tersebut.
Lelaki terbbait akan melakukannya dengan cara yang terbaik iaitu melamarnya
melalui melalui keluarga dan ikatan terbabit akan termeterai dengan persetujuan
kedua-dua belah pihak.
Bunga ros bunga melati,
Harum semerbak di dalam
taman;
Besar sungguh hajat di hati,
Hendak menyunting bunga di
taman.
m. Sebagai
seorang yang beragama Islam, kita perlu
percaya kepada qada dan qadar yang ditentukan oleh Allah s.w.t. Namun
begitu, kita digalakkan untuk berusaha bagi mengubah nasib masing-masing ke
arah yang lebih baik dari sebelumnya dan kita harus mengikuti perintah Allah
s.w.t iaitu amar makruf nahi mungkar. Hal ini dapat dilihat melalui contoh
pantun di bawah:
Sungai teluk jauh di Rawa,
Tempat berkelah tepi pangkalan;
Sebagai makhluk
yang bertakwa,
Cintai Allah dengan amalan.
ESTETIKA
DAN KEPENGARANGAN
Estetika dan
kepengarangan sangat penting dalam menghasilkan suatu karya termasuklah karya
‘Pantun Melayu: Bingkisan Permata’ ini. Estetika merujuk kepada keindahan yang
menjadi dasar karya sastera. Selain itu, estetika ini merangkumi unsur
keindahan, keseronokan, kegembiraan yang merujuk kepada karya yang bernilai dan
bermanfaat serta penikmatan yang mempesonakan atau penglihatan yang memukau
yang cepat menawan perasaan dan terpahat dalam pemikiran.
Kepengarangan
pula dianalisis daripada aspek keperibadian yang dicapai pengarang.
Keperibadian merupakan kemuncak kejayaan seseorang pengarang. Prinsip
keperibadian ini merupakan klimaks dalam perjuangan seseorang pengarang seperti
Harun Mat Piah. pengarang berusaha untuk menghasilkan teks yang unggul dalam mencipta
sifat keperibadian masing-masing. Prinsip ini memperlihatkan nilai perimbangan
antara diubah dan dikekalkan dalam setiap aspek yang berhubungan dalam dunia
penghasilan karya.
1. Nilai
Estetika dalam ‘Pantun Melayu: Bingkisan Permata’
Pantun
terdapat dalam keadaan berpasangan dan berangkap. Terdiri daripada
pantun dua, empat, enam, lapan kerat, dan empat belas kerat.
i.
Dua
kerat
Tuku takal balik bukit
Siapa nakal bolek sakit
Pantun
Melayu: m/s 51
ii.
Empat
kerat
Bintang barat terbit petang
Bintang timur terbit pagi
Jika tidak melarat panjang
Ada umur ketemu lagi
Pantun
Melayu: m/s 605
iii.
Enam
kerat
Si bongsu pandai bilang malam:
Malam ini malam kelapan
Anak apan di dalam apan
Mati disengat si kumbang jati
Abang laksana si kain kapan
Buruk tidak diganti lagi
Pantun
Melayu: m/s 589
iv.
Lapan
kerat
Bertanam ubi di sawah
Ditimbun dengan hampa barat
Dicangkul dengan beladang
Dijual oleh anak Bangkahulu
Kalau menyuji nak sama merah
kalau mengganti nak sama berat
kalau mengukur nak sama panjang
itulah hukum pada penghulu
Pantun
Melayu: m/s 81
v.
Empat
belas kerat
Karatau madang berbulu
Berbulu berbunga belum
Berbunga ketika repak
Habis repak, bingkuang pula
Bingkuang ambil ke bengkalai
Bengkalai anak ‘rang Kota Lola
Kota kecil jalan ke Selida
Merantau anak dahulu
Di rumah berguna belum
Berguna ketika sesak
Lepas sesak terbuang pula
Terbuang lagi berpakai
Berpakai waktu kau menolong
Kurang tolong terbuang saja
Pantun Melayu: m/s 255
a)
Pantun
mengekalkan pola rima a-b-a-b pada kedudukan akhir. Tetapi, terdapat
juga pantun berima a-a-a-a.
i.
Pola
a-b-a-b
Telur cicak di
atas pintu
Pintu berdegar
di bawah rumah
Ayuhai adik
bukakan pintu
Abang lama di
bawah rumah
Pantun Melayu: m/s 367
ii.
Pola a-a-a-a
Berdua dengan Dewa Syah Pari
Terkena pelak dengan bahadi
Jangan menyesal kemudian hari
Baiduri jangan diselang pudi
Pantun
Melayu: m/s 345
b)
Terbahagi
kepada dua unit, iaitu unit pembayang atau sampiran dan unit maksud. Lazimnya,
kedua-dua unit ini mempunyai hubungan sama ada hubungan langsung atau hubungan
simbolis, iaitu melalui penggunaan unsur-unsur simbolisme.
Pokok sena dahan bercantum
Tempat bersarang burung tekukur
Kalau bunga bukan sekuntum
Kumbang juga bukan seekor
Pantun Melayu: m/s 229
Dalam rangkap pantun di atas jelas dilihat hubungan
antara pembayang dengan maksud pantun tersebut. Contohnya pembayang dalam baris
pertama mempunyai unsur tumbuh-tumbuhan yang menyamai dengan maksud pada baris
ketiga. Manakala pembayang dalam baris kedua mempunyai unsur fauna iaitu haiwan
yang menyamai maksudnya pada baris keempat. Secara keseluruhannya, jelas
dilihat rangkap tersebut menggunakan unsur alam sebagai pembayang dan
maksudnya.
c)
Penggunaan
unsur-unsur retorik. Selain menekankan aspek perlambangan atau
simbolisme, penggunaan unsur-unsur majaz, metafora, simili, personafikasi,
hiperbola dan lain-lain juga turut ditekankan. Penggunaan unsur-unsur ini
berkaitan pula dengan aspek hubungan makna antara pembayang dengan maksud sama
ada secara langsung mahupun tidak langsung.
Limau purut jatuh ke lembah
Tiba di lembah tumbuhlah duri
Pinang mengadap sirih menyembah
Jari sepuluh menjunjung duli.
Pantun
Melayu: m/s 11
Jika diperhatikan pada pantun di atas, terdapat
penggunaan personafikasi. Pada baris ketiga, perkataan ‘pinang’ dan ‘sirih’ merupakan
benda manakala perkataan ‘mengadap’ dan ‘menyembah’ pula merupakan sifat
manusia. Apabila sesuatu benda itu disifatkan dengan sifat manusia, maka itu
adalah personafikasi
2. Nilai
Kepengarangan dalam ‘Pantun Melayu: Bingkisan Permata’
‘Pantun Melayu: Bingkisan Permata terbahagi kepada
empat bahagian iaitu bingkis pemula, bingkis bicara, bingkis kasih, dan bingkis
penutup. Dalam setiap bahagian buku ini mengandungi nilai kepengarangan yang
tersendiri dan unik. Contohnya:
a)
Bingkis pemula
Sudah roboh kota Melaka
Pada cerita terus terbayang
Pantun Melayu kebudayaan
kita
Pusaka peninggalan nenek
moyang
Pantun
Melayu: m/s 13
Dalam pantun tersebut dapat dilihat kesesuaian
pantun dalam usaha meningkatkan semangat cintakan pantun warisan nenek moyang. Pantun
ini sesuai dipersembahkan pada awal majlis sebagai penyuntik semangat golongan
muda sebagai pewaris warisan.
b)
Bingkis bicara
Di sana padi di sini padi
Itulah nama sawah dan
bendang
Di sana budi di sini budi
Barulah sempurna bernama
orang
Pantun
Melayu: m/s 111
Dalam pantun di atas dapat
dilihat unsur budi sebagai “budi dan adab” sebagai makhluk di muka bumi Allah
ini. Pengarang menerapkan unsur budi ini agar ia dapat dijadikan panduan kepada
pembaca terutamanya kepada golongan muda.
c)
Bingkis kasih
Tun Teja Ratna Benggala
Pandai membelah lada sulah
Jikalau tuan belum percaya
Mari bersumpah kalam Allah
Pantun
Melayu: m/s 373
Pantun di atas menggambarkan bahawa kalam Allah
merupakan sesuatu yang sangat luhur dan suci. Tiada perkara yang boleh
dimain-mainkan dengan melakukan sumpah atas nama kalam Allah. Kalam Allah
merupakan sesuatu yang sangat agung dalam Islam. Tiada seorang insan yang dapat
mempermain-mainkan kalam Allah sehingga boleh melakukan sumpah palsu ke atas
kalam Allah.
d)
Bingkis penutup
Oleh gamparan diukir-ukir
Rasamala membuat dupa
Barang dikata janganlah
mungkir
Nanti hilang cahaya di muka
Pantun
Melayu: m/s 573
Pantun diatas memberikan
pengajaran kepada pembaca. Pengajarannya ialah jangan pernah memungkiri janji
kerana ia merupakan salah satu sifat orang munafik. Sekiranya seseorang
memiliki sifat ini, nescaya dia akan kehilangan seri wajah. Dirinya juga akan
dipandang rendah dan sudah tidak dipercayai lagi.
Format Penulisan Rangkap
Seperti
biasa tiada perbezaan dibuat pada penulisan pantun dua larik, empat larik, enam
larik dan seterusnya. Format seperti ini telah mantap dalam semua sumber yang
dirujuk. Yang baru atau berbeza ialah bagi pantun berkait dan pantun rejang (
termasuk “ pantun pandai bilang malam”). Bagi pantun berkait diberikan dalam susunan yang
dinyatakan di atas dan pantun rejang (lima larik) dengan rujukan rejangnya pada
larik pertama. Sementara pantun “ pantun pandai bilang malam” (enam larik)
dengan dua larik pertama sebagai rujukan.
Perbezaan
yang ketara dalam koleksi ini ialah pada tanda baca: koma dan koma bertitik
yang tidak digunakan, walaupun penggunaan demikian terdapat dalam semua sumber
terdahulu, termasuk sebagai format yang diterima dalam Gaya Dewan. Rasionalnya di sini, penggunaan demikian dirasakan
tidak penting kerana susunan pantun-pantun itu memang lazimnya telah terpisah
dalam keratan-keratan kalimat secara tabii. Larik atau kalimat tersebut memang
dibaca atau dituturkan secara berurutan, dengan hentian (pause) pada akhir
setiap larik walaupun tanda-tanda baca itu (koma dan koma bertitik) tidak
digunakan.
Indeks Baris Pertama
Indeks
Baris Pertama seperti dalam koleksi ini telah digunakan juga dalam Kumpulan Pantun Melayu (peny. Zainal
Abidin Bakar, 1983). Indeks seperti ini amat membantu dalam meneliti pantun
terutamanya dalam himpunan yang cukup besar seperti koleksi ini. penggunaan
pertama ialah untuk membolehkan pembaca menyemak atau menentukan kandungan
koleksi; apakah sebuah pantun yang didengar atau ditemui dalam sumber lain,
dirakam atau dimasukkan ke dalam koleksi ini. penggunaan kedua ialah untuk
tujuan kajian, misalnya melihat objek atau rujukan yang digunakan dalam pantun
secara keseluruhan, termasuk Melayu dan Nusantara. Misalnya untuk objek “anak”,
kita melihat senarai dari anak Aceh, anak Cina, anak ayam, anak ikan, anak
burung dan seterusnya. Banyak sekali rujukan kepada “anak”; dan antara
anak-anak manusia, anak Cina menjadi pilihan utama berbanding dengan anak
India, anak Melayu atau anak Jawa. Demikian juga pada objek lain, nama-nama
tempat, negeri, daerah, juga nama-nama orang, baik tokoh-tokoh sebenar dalam
sejarah mahupun yang berupa umum atau khayalan. Maklumat-maklumat seperti ini
tidak sahaja berguna dalam kajian linguistik dan bahasa, tetapi juga untuk
kajian sosiolinguistik, sosial sejarah, politik, agama dan lain-lain. Pendeknya
indeks ini sangat berguna sebagai maklumat awal bagi matlamat-matlamat tersebut
sebagaimana yang diperlukan oleh seseorang pengkaji.
Indeks Maksud
Koleksi
ini memberikan indeks bagi maksud pantun secara terperinci; ertinya setiap
rangkap pantun diberikan maksud yang lebih khusus dalam kata-kata huraian yang
ringkas. Maksud yang tersurat atau tersirat dalam sesuatu rangkap pantun
terkandung dalam bahagian maksud, larik atau kuplet yang mengikuti bahagian
sampiran atau pembayang maksud. Dan maksud ini, biasanya bersesuaian dengan
tema pantun secara keseluruhan. Misalnya bagi pantun-pantun dalam tema
berkasih, dipecahkan kepada tiga bahagian, iaitu permulaan berkasih (Cinta
Bersemi), kejayaan berkasih (Hasrat Tercapai) dan kegagalan berkasih (Kasih
Terhalang). Dalam indeks maksud diberikan ringkasan isi pantun berkenaan,
misalnya malu (1759), sumpah setia (2441) dan gagal (3095). Sekali lagi
pemerian maksud seperti ini bukanlah tetap atau muktamat; kerana hal ini memang
bersifat subjektif, bergantung pada tanggapan dan interprestasi masing-masing.
Namun demikian, bahagian ini dapat memberikan panduan kepada pembaca atau
pelajar untuk memahami maksud pantun yang mungkin sukar difahami. Selain itu,
mungkin terdapat huraian maksud yang sama atau hampir sama antara pantun-pantun
yang diletakkan dalam golongan yang berlainan; misalnya maksud pantun dalam
tema Kasih Terhalang ditemui pula pada pantun dalam tema Perantauan dan Nasib.
Walau bagaimanapun, setepat mungkin sesuatu maksud yang diberikan dalam indeks
akan disesuaikan dengan tema besar atau subtema yang digunakan.
Indeks Kata Rujuk
Bahagian
akhir koleksi ini mengandungi indeks bagi perkataan yang dirujuk dalam sesebuah
pantun. Kebanyakan perkataan tergolong sebagai kata nama atau berfungsi sebagai
kata nama. Kata yang dirujuk tidak sahaja dari kedudukan tertentu dalam rangkap
berkenaan, misalnya dalam baris pertama atau bahagian Pembayang, tetapi dalam
semua kedudukan, misalnya dalam pantun yang berikut:
(88) Ambil pensel menulis surat
Surat
ditulis tujuh cerita
Barang cantik daya memikat
Bahasa indah
payung mahkota.
Dalam Indeks Kata Rujuk, dimasukkan
kata pensel, surat, cerita, barang, bahasa dan payung mahkota, dengan setiap
kata dirujuk kepada rangkap berkenaan. Perkataan-perkataan ini memberikan
gambaran dan maklumat terhadap benda atau objek yang menjadi rujukan (
referent) dalam pantun Melayu. Selain itu, dapat dilihat perkataan yang kerap
menjadi rujukan di alam Melayu, dan hal ini sangat menarik jika dilihat pada
senarai flora dan fauna yang terkumpul pada entri tumbuh-tumbuhan dan haiwan.
Kedua-dua
indeks ini tidak pernah dibuat dalam mana-mana koleksi sebelum ini. semoga dengan
adanya maklumat-maklumat ini para pelajar, para pengkaji atau pengguna secara
umum dapat dibantu untuk meneliti pantun Melayu dan memanfaatkannya untuk
keperluan masing-masing.
Nilai Budaya
Adat
meminang
Kehidupan bermasyarakat pada zaman dahulu banyak menerapkan sikap bekerjasama dalam kalangan
anggota masyarakatnya. Apabila ingin memilih
sesuatu keputusan pihak yang terlibat selalunya akan berunding
terlebih dahulu . Perundingan dilakukan supaya keputusan yang dipilih
dipersetujui oleh semua pihak. Boleh dilihat seperti contoh di bawah:
Anak India membawa
madat
Dari Kedah langsung ke
Bali
Hidup
manusia biar beradat
Bahasa
tidak berjual beli.
( Bingkisan Permata; 2001, 79)
Dalam
contoh-contoh pantun di atas, perkara
yang ditekankan ialah tentang adat seperti hidup di dunia biar beradat,
sembah adat pusaka Melayu, kalau sirih pulang ke gagang dan sebagainya. Semua
ini memberi gambaran kepada pembaca
berkaitan dengan adat. Hal ini demikian
kerana, adat bagi masyarakat Melayu dahulu adalah sangat penting dalam
kehidupan mereka. Jika dilakukan kajian secara lebih terperinci , dapat dibuktikan bahawa kehidupan masyarakat Melayu begitu
banyak dikelilingi dengan adat yang diperturunkan dari generasi ke generasi
yang begitu tinggi nilainya kepada bangsa Melayu dan tidak boleh ditukar ganti
dengan wang ringgit.
Berbuah
lebat pohon mempelam
Rasanya
manis dimakan sedap
Bersebarlah
adat seluruh alam
Adat
pusaka berpedoman kitab.
( Bingkisan Permata; 2001, 80)
Pantun-pantun di atas
dikarang dengan menggunakan pemilihan
kata yang menarik dan puitis agar maksudnya jitu dan memberi pengertian yang
tepat, iaitu berkaitan dengan adat dan adat istiadat. Dalam pantun yang kedua tersebut
, ada dinyatakan mengenai Adat Perpatih
dan Adat Temenggung yang diamalkan oleh masyarakat Melayu terdahulu, terutama
di Negeri Sembilan. Hukum adat ini meliputi segala aspek kehidupan, pembahagian
kuasa , peraturan hidup, adat istiadat, dan hidup bermasyarakat.
Adat Perpatih misalnya
berbeza dengan Adat Temenggung kerana lebih mengutamakan kaum wanita dalam hal
pewarisan harta, berbeza dengan Adat Temenggung. Perbezaan ini jelas berbeza
dengan undang-undang Islam yang mengutamakan anak lelaki dalam pewarisan harta.
Maka timbullah idea pengarang untuk menghasilkan pantun yang menyebutkan bahawa
adat yang diamalkan oleh masyarakat Melayu Islam hendaklah berpandukan kepada
syariat Islam seperti baris akhir pantun itu iaitu adat berpandu kitab Allah
yang bermaksud segala adat yang diamalkan dalam kehidupan seharian hendaklah
berpandukan kitab Allah iaitu Al-Quran.
Adat menyembah
pembesar
Adat ini
sering diamalkan apabila sesuatu majlis yang melibatkan
golongan istana.
Contoh:
Limau purut
jatuh ke lembah
Tiba di lembah
tumbuhlah duri
Pinang
mengadap sirih menyembah
Jari sepuluh
menjunjung duli.
Adat mengenang budi diberi ukuran yang
tinggi dalam masyarakat.
Contoh:
Burung empat disangka enam
Ibunya lari membawa sarang
Sakit diubat mati ditanam
Itu budi dikenang orang.
Adat ini merupakan salah satu adat yang
diamalkan oleh masyarakat Melayu pada zaman dahulu. Adat ini merupakan suatu bentuk
pertaruhan oleh dua pihak atau lebih.
Contoh:
Lenggang-lenggang kangkung
Kangkung tepi telaga
Balik dari menyabung
Makan nasi sahaja.
Pandangan hidup
Pandangan
hidup merupakan satu konsep yang menunjukkan sesebuah masyarakat secara
keseluruhan yang dapat dilihat melalui satu sudut pandangan. Pandangan hidup
ini ini jelas mempengaruhi akar umbi sesebuah masyarakat tersebut melalui satu
sistem teras seperti pengaruh agama atau sistem nilai dalam sesebuah masyarakat
itu sendiri. Pandangan hidup sesebuah masyarakat juga terpancar melalui hiburan
seperti pantun dalam masyarakat tradisional Melayu seperti yang diaparkan dalam
bab 4 iaitu Bingkis Bicara: Adat dan Etika.
Dalam pantun pula, terdapat
pembayang dan maksud yang ingin disampaikan. Sungguhpun begitu, pembayang yang
dipilih tidak dihasilkan dengan sesuka hati, sebaliknya bertepatan dengan
maksud yang ingin disampaikan. Sebagai contoh ;
Baik-baik belayar malam,
Arus
deras karangnya tajam
Cari-cari
malim yang faham
Di
situ banyak kapal yang tenggelam.
Pantun Melayu : Bingkisan Permata
merupakan himpunan puisi Melayu yang dihasilkan oleh masyarakat Alam Melayu
tanpa mengira latar belakang dan kedudukan geografi masing-masing. Sebagaimana
yang kita sedia maklum, pantun merupakan salah satu bentuk hiburan dan wadah
lisan masyarakat tradisional dalam menyampaikan sesuatu nilai dalam masyarakat
tersebut kepada generasi muda. Kebudayaan Melayu sejak dahulunya dilingkungi
dengan nilai-nilai agam Islam sekali gus wujudnya pantun-pantun berupa
nasihat-nasihat agama. Sebagai contoh;
Kata bersongsong jadi bantah
Kata
kemudian kata bercari
Nan
ditepati kata dahulu
Petua alim nan sudah-sudah
Lain
di mulut lain di hati
Hukumnya
munafik kata guru
Menanam kelapa di Pulau Bukum
Tinggi
sedepa sudah berbuah
Adat bermula dengan hukum
Hukum
bersandar di kitab Allah
Selain itu, pandangan hidup
masyarakat Melayu juga amat berpegang dengan institusi kekeluargaan. Orang Melayu menganggap institusi
kekeluargaan merupakan organisasi asas dalam membentuk masyarakat yang
berpegang kepada agama Islam. Orang Melayu juga menekankan keredhaan ibu bapa
amat penting dalam setiap tindakan. Hal ini ditunjukkan dalam pantun berikut ;
Mengala sudah cahaya merata
Lalu
sampai ke birai telaga
Muafakatlah ia sekata
Tanda
hidup berkeluarga
Masyarakat Melayu juga terkenal dengan sopan
santun, sikap merendah diri dan juga tidak berlagak. Malah terdapat pantun
untuk menegur seseorang akan larangan berlagak atau meninggi kerana kelak akan
memakan diri. Antara contoh pantun yang menunjukkan kesantunan orang Melayu
adalah seperti di bawah ;
Jika penghulu berkemenakan
Itu menganjung meninggikannya
Cerdik nan dilagakkan
Mungkin bingung kesudahannya
Selain itu, masyarakat Melayu juga komuniti
yang sangat sabar dan tidak memaksa. Sebarang perbincangan juga dimulakan
dengan perbualan ringan sebelum berbincang kepada perkara yang hendak
dirundingkan. Bertepatan dengan budaya orang Melayu yang menghormati tetamu,
anggota masyarakat akan menghidangkan tepak sirih pinang kepada tetamu. Tepak
sirih dianggap satu bentuk penghormatan dalam budaya Melayu yang merendah diri
dan lembut sifatnya. Contohnya ;
Sepinang dua pinang
Habis pinang dalam raga
Sudah dimakan sirih pinang
Apa cerita mahu dibuka
Walaupun masyarakat Melayu itu mempunyai
keperibadian yang lemah lembut dan merendah diri, namun begitu sikap ketegasan
dan membalas budi juga amat penting bagi mereka. Ketegasan orang Melayu bukan
keras kepala sebaliknya lebih kepada sikap mempertahankan sesuatu yang amat
penting bagi mereka. Selain itu, orang Melayu juga amat terikat dengan budaya
membalas budi yang sangat tinggi. Mereka amat menjunjung atas budi yang dilakukan
oleh orang lain. Contohnya ;
Gajah lengkur kuda beraksa
Sudah diadu tiada dihempaskan
Tewas lebur badan binasa
Tuan puteri tidak kulepaskan
Tidak
kurang juga pantun-pantun Melayu yang dibuatkan untuk hiburan di kala masa
lapang. Pantun-pantun jenaka juga turut menjadi salah satu kesenian dalam dunia
Melayu kerana perlulah timbul unsur humor yang boleh mencuit hati pendengarnya.
Contoh di bawah merupakan salah satu contoh pantun jenaka dalam dialek bahasa
Melayu Brunei. Bagi yang memahami bahasa tersebut, sudah tentu mereka akan tahu
unsur humor dalam pantun tersebut namun sebaliknya bagi orang yang tidak faham
bahasa tersebut. Oleh itu, pantun jenaka dianggap satu kesenian kerana pantun
tersebut seharusnya cepat difahami orang ramai.
Berkokok ayam di lonteng
Menyahut
ayam di kupang
Tertawa terlanting-lanting
Menampakkan
giginya rumpang
Di
samping itu, pantun-pantun kasih sayang juga turut dihasilkan oleh masyarakat
Melayu. Hal ini demikian kerana sifat orang Melayu yang suka berkias-kias dalam
menyatakan maksud di hati. Tambahan lagi, ia bukannya perkara yang manis untuk
meluahkan perasaan secara berterus terang tentang isi hati masing-masing.
Sebagai contohnya ;
Ke Temburung ke Batu Apoi
Ketiga
dengan Pandaruan
Minta sirih barang sekapur
Sebab
mengenang adinda tua
Nilai
ilmu dalam Pantun
Melayu Bingkisan Permata
Menurut Kamus
Dewan Edisi Keempat
(2010), perkataan nilai
merujuk kepada darjat,
kualiti, mutu dan
taraf. Dalam bidang
sains sosial, nilai
boleh didefinisikan dalam
tiga konteks utama,
iaitu sebagai sifat
bagi menyatakan kepentingan
atau manfaat sesuatu
objek, menyatakan kadar
harga atau markah
sesuatu objek berbentuk
berbentuk kuantiti dan sebagai
ukuran atau piawaian
kepada sesuatu kelakuan
manusia. Nilai juga
diistilahkan sebagai ‘al-qimah’
dalam bahasa Arab
yang lebih merujuk
kepada harga yang
ditetapkan atau diletakkan
pada sesuatu. Nilai
juga bersifat aksiologi
dan mempunyai hubung
kait dengan falsafah
nilai. Nilai membolehkan
manusia membezakan antara
yang baik atau
buruk dan betul
atau salah.
Menurut Kamus
Dewan Edisi Keempat (2010), ilmu
bermaksud pengetahuan dalam
perkara dunia, akhirat,
zahir, batin dan lain-lain. Oleh
itu, dapatlah kita
simpulkan bahawa ilmu
adalah hal yang
berkaitan kerana pemerolehan
ilmu itu dan
usaha kita menyebarkannya kepada
orang lain dalam
bentuk pelbagai maklumat.
Maklumat yang disebarkan
mengandungi pelbagai fungsi.
Antara
fungsi sesuatu ilmu
itu ialah disebarkan untuk menambah
ilmu pengetahuan dan mengembangkan lagi
perkara yang mengandungi
pelbagai kemusykilan dan
lain-lain. Dalam Pantun
Melayu Bingkisan Permata,
ilmu yang ingin
dikaji ialah
1. Ilmu tentang laut
Masyarakat yang
digambarkan dalam Pantun
Melayu Bingkisan Permata
merupakan masyarakat yang
pesisir dan masyarakat
pelaut yang cukup
mahir tentang laut,
tentang pelayaran, atau
seseorang pemikir yang
benar-benar mengetahui tentang
laut dalam hubungannya
dengan falsafah pemikiran
manusia Melayu. Daripada
kategori tersebut, imej
laut akan diserlahkan
dalam segala situasinya.
Melalui sekumpulan pantun
dalam kategori ini
dapat dilengkapkan satu
senarai yang panjang
dan terperinci bagi
setiap objek dan
rujukan tentang laut,
misalnya :
i.
Laut, pantai,
tanjung, teluk, pulau,
darat, arus.
ii.
Karang, ombak,
buih, anjung, gelombang,
angin, bayu, ribut,
taufan.
iii.
Perahu, kapal,
sampan, tongkang, jong,
biduk, bahtera, tiang,
layar, kemudi, sauh,
dayung, haluan, temberang,
geladak, buritan.
iv.
Jurubatu, jurumudi,
malim, pawang, kelasi,
makhoda, kapitan.
v.
Belayar, berlabuh,
singgah, hilir, mudik,
karam, timbul, tenggelam.
vi.
Pasang, surut,
tenang, panas, dingin,
sejuk, deras, laju,
tinggi (menggunung), ganas, kelam,
pekat.
vii.
Batu, jeruju,
pandan, lata, paya,
lumpur, pasir, garam,
asin.
viii.
Pelabuhan, pangkalan,
jeti, kuala, dermaga.
ix.
Berdagang, merantau,
jual, beli, untung,
rugi.
x.
Pedagang, nelayan,
pengail, pemukat, penjala.
xi.
Pukat, belat,
kail, pancing, umpan.
xii.
Memancing, memukat,
menjala, mengail, memungut,
memunggah, menjemur.
xiii.
Ikan (pelbagai jenis),
udang, ketam, lokan,
teritip, kepiting, dan
sebagainya.
Keadaan
ini jelas menunjukkan
pengetahuan dan sifat
kepekaan masyarakat yang
begitu terperinci, mendalam
dan cukup terlibat.
Orang yang tidak
mempunyai pengetahuan dan
pengalaman tentang laut
dengan segala situasinya
dan tidak mengetahui
kehidupan sosial masyarakat
yang melahirkannya, tidak
akan mampu mentafsir
atau menterjemah situasi-situasi tersebut
dengan sebaik mungkin.
Ia seharusnya mengenali
masyarakat itu dan
memahami cara kehidupannya,
agama dan kepercayaannya, pantang-larang, adat
dan upacara, sejarah,
mitos dan lagendanya,
seterusnya tentang setiap
objek dan situasi
yang berhubung dengan
alam dan imej
yang membina pantun-pantun
berkenaan. Contoh nilai ilmu
tentang laut yang
terdapat dalam Pantun
Melayu Bingkisan Permata
ialah :
Baik-baik belayar
malam,
Arus deras
karangnya tajam,
Cari-cari malim
yang faham,
Di situ
banyak kapal tenggelam.
(PMBP
: 238)
2. Ilmu agama
Dalam Pantun
Melayu Bingkisan Permata,
ilmu agama turut
diselitkan sebagai panduan
kepada pembaca pantun.
Nilai ilmu agama
merujuk kepada ilmu
agama yang diajarkan
dalam pantun-pantun yang
terdapat di dalam
buku ini. Ilmu agama
merujuk kepada nilai
kepercayaan dan kerohanian
yang terdapat dalam
sesebuah pantun atau
teks. Antara contoh
nilai agama yang
terdapat dalam Pantun
Melayu Bingkisan Permata
ialah :
Sorong
papan tarik papan,
Buah keranji
dalam perahu,
Suruh makan
engkau makan,
Suruh mengaji
engkau tak mahu.
(SBSB:
132)
3. Nilai ilmu
melalui pantun teka-teki
Teka teki
ialah pernyataan atau
soalan yang mempunyai
pembayang-pembayang tertentu yang
bertujuan untuk menduga
dan menguji keupayaan
fikiran dan akal
seseorang. Kebiasaannya, sesuatu
teka-teki itu mempunyai
jawapan yang menarik,
unik atau kelakar.
Jenis pantun teka-teki
yang terdapat dalam
buku ini ialah
teka-teki tradisional yang
mempunyai 4 baris
rangkap pantun dengan
rima “abab”. Dalam
pantun teka-teki terbabit,
terdapat pelbagai jenis
ilmu yang dapat
dipelajari khasnya kepada
kanak-kanak seperti ilmu
sains, binatang, buah-buahan
dan sebagainya. Sebagai
contoh :
Ada ikan
masak gulai,
Bulan terang
pagi hari,
Kalau tuan
bijak pandai,
Apa binatang
keris di kaki?
(PMAB:21)
No comments:
Post a Comment