Monday 25 May 2015

Melestarikan dan Memartabatkan Pantun Melayu

Salam perjuangan, semoga hari ini lebih baik daripada hari-hari sebelumnya.

Sudah roboh kota Melaka
Pada cerita terus terbayang
Pantun Melayu kebudayaan kita
Pusaka peninggalan nenek moyang


Cukup indah di mata, cukup merdu di telinga, cukup tepat katanya ke dasar hati. Hanya dengan serangkap pantun tersebut, kita dapat mengenal pasti satu atau dua mesej yang hendak disampaikan kepada masayarakat. Sungguhpun pengarang asal tidak diketahui namun bagitu, pantun adalah satu pusaka milik kolektif masyarakat.

pantun merupakan warisan bersama seluruh masyarakat Melayu merentasi budaya, geografi malah etnik-etnik yang ada di Alam Melayu. Pantun merupakan genre kesusasteraan yang agung, indah dan sanagt memainkan peranan yang penting dalam masyarakat di samping beberapa genre kesusasteraan yang lain.
 Keindahan dalam satu-satu pantun melambangkan keunggulan dan ketelitian estetika dalam masyarakat Melayu itu sendiri. Oleh itu, sudah menjadi tanggungjwab kita sebagai anggota masyarakat generasi Melayu kini memelihara khazanah ini agar tidak terabai dan pupus ditelan arus pembangunan.

Jika dahulunya pantun dianggap satu medium hiburan, teguran, sindiran, nasihat dan peringatan dalam tamadun Melayu, kenapa tidak sekarang? Kini dengan adanya pelbagai medium media massa seperti facebook, Whatsapp, Wechat, blog malah lama web juga, sudah tentu tugas itu menjadi lebih mudah dan mencapai sasaran. Tidak semestinya, pantun itu hanya sesuai semasa keraian atau adat-adat perkahwinan, tetapi ia meliputi setiap aspek kehidupan masyarakat.


 Dari Jawa ke Bangkahulu,
Membeli keris di Inderagiri
Kawan ketawa ramai selalu,
 Kawan menangis seorang diri


Pantun Melayu merupakan simbol ketelitian, kebijaksaan dan keunggulan ini masih relevan dalam mengungkapkan isu-isu tertentu sepadat dan sesinis yang mungkin namun masih kedengaran indah kepada orang lain. Sudah tentu keistimewaan ini sukar ditemu dalam genre kesusasteraan yang lain. Oleh itu, tidak wajar kita membuang warisan unggul kerana ingin diiktiraf dalam arus pembangunan kini. Kitalah waris bangsa dan tamadun Alam Melayu yang harus menjunjung warisan bangsa ini.

-diubahsuai daripada Isu-isu Kebudayaan dan Kesenian(Talib Samat)





Sunday 24 May 2015

KARYA AGUNG MELAYU DAN ALAM MELAYU

Karya Agung Alam Melayu yang dimaksudkan ialah karya agung yang wujud di kawasan Dunia Melayu. Karya-karya ini menggunakan bahasa-bahasa serumpun atau bahasa-bahasa Malayo-Polinesia yang lain. 

Terdapat banyak karya dalam bahasa-bahasa lain yang diiktiraf dalam bangsa berkenaan sebagai karya agung, antaranya Nagarakertagama atau Serat Centhini yang ditulis dalam bahasa Jawa, atau I la Galigo yang ditulis dalam bahasa Bugis. Tidak ketinggalan juga karya-karya seperti Sulalatus Salatin, Bustan Salatin dan Hikayat Raja Pasai yang turut menjadi salah satu karya-karya agung Alam Melayu.

Karya Agung Melayu merupakan karya yang melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu tradisional dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya. Kesemua ini ditunjukkan dalam bentuk karya sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga kesan seni, budaya dan falsafah ini kekal sepanjang zaman dalam minda kolektif bangsa Melayu. 

Karya Agung Melayu juga bererti karya agung yang ditulis atau secara lisan (pepatah, pantun, lipur lara, dan lain-lain) dalam bahasa Melayu, tanpa mengambil kira kelompok bangsa/etnik dalam kawasan Dunia Melayu ini. Karya ini merentasi sempadan geografi dan etnik sehingga mampu mencetuskan karya agung Melayu dalam pelbagai bentuk dan gaya yang luar biasa seperti unsur-unsur pemikiran, sistem nilai dan kepercayaan, falsafah atau pandangan hidup bangsa Melayu.





Apa itu Karya Agung?

Karya Agung merupakan karya klasik yang meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Karya ini dianggap sebagai pembentuk dan cermin budaya dan tamadun bangsa yang melahirkan karya itu. Ia juga melambangkan keunggulan daya cipta bangsa itu untuk membentuk tradisi dan identitinya yang tersendiri. 

Kita mengenal tamadun Greek, India, Mesir, Hwang Ho dan bangsa-bangsa yang lain melalui karya seni, pemikiran, falsafah, sastera dan dicetuskan oleh  para pemikir, seniman dan sasterawan mereka. Mereka mampu meninggalkan pengaruh yang besar dan kekal sepanjang zaman, dipelajari, dijadikan petua, dikekalkan atau dicerna oleh keturunan berikutnya sehinggalah hasilnya menjadi tradisi dan warisan bangsa hingga kini.

Karya Agung dalam dikaji dan diteliti melalui beberapa elemen.

1) Pemikiran dan Falsafah
2) Estetika dan Kepengarangan
3) Nilai Budaya dan Pandangan Hidup
4) Nilai Ilmu