Sunday, 24 May 2015

KARYA AGUNG MELAYU DAN ALAM MELAYU

Karya Agung Alam Melayu yang dimaksudkan ialah karya agung yang wujud di kawasan Dunia Melayu. Karya-karya ini menggunakan bahasa-bahasa serumpun atau bahasa-bahasa Malayo-Polinesia yang lain. 

Terdapat banyak karya dalam bahasa-bahasa lain yang diiktiraf dalam bangsa berkenaan sebagai karya agung, antaranya Nagarakertagama atau Serat Centhini yang ditulis dalam bahasa Jawa, atau I la Galigo yang ditulis dalam bahasa Bugis. Tidak ketinggalan juga karya-karya seperti Sulalatus Salatin, Bustan Salatin dan Hikayat Raja Pasai yang turut menjadi salah satu karya-karya agung Alam Melayu.

Karya Agung Melayu merupakan karya yang melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu tradisional dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya. Kesemua ini ditunjukkan dalam bentuk karya sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga kesan seni, budaya dan falsafah ini kekal sepanjang zaman dalam minda kolektif bangsa Melayu. 

Karya Agung Melayu juga bererti karya agung yang ditulis atau secara lisan (pepatah, pantun, lipur lara, dan lain-lain) dalam bahasa Melayu, tanpa mengambil kira kelompok bangsa/etnik dalam kawasan Dunia Melayu ini. Karya ini merentasi sempadan geografi dan etnik sehingga mampu mencetuskan karya agung Melayu dalam pelbagai bentuk dan gaya yang luar biasa seperti unsur-unsur pemikiran, sistem nilai dan kepercayaan, falsafah atau pandangan hidup bangsa Melayu.





No comments:

Post a Comment