ANALISIS KARYA MISA MELAYU

Pemikiran dalam Misa Melayu

Misa Melayu adalah catatan kontemporari yang pengkisahannya itu hasil kajian, penglihatan dan penilaian Raja Culan. Teks Misa Melayu adalah kisah benar dan rasional serta penunjukkan tahap-tahap pemikiran dan cara hidup di zaman feudal. Struktur social, ekonomi dan politiknya adalah rigid dan bertingkat-tingkat. Susunan ini disokong dan diperkuat lagi oleh nilai-nilai dan budaya feudal. System naungan (patronage) menjadi satu ciri kehidupan massa Melayu yang berkekalan. Pengkisahan dalam Misa Melayu adalah kisah manusia istana dan interaksinya dengan golongan massa dan orang luar. Misa Melayu juga mampu meletakkan dirinya sebagai sejarah yang kukuh kerana daripadanya kita dapat menggambarkan tantang sistem dan struktur politik, ekonomi, social masyarakat feudal pada abad ke-18 di Perak.
            Sistem politik dan sistem ekonomi yang ditunjukkan dalam Misa Melayu adalah hasil daripada struktur dan system sosialnya. Raja adalah simbol perpaduan dan menguasai kawasan istana dan sekitarnya atau ‘negara kota’. Di kawasan lain pembesar negeri pula yang berkuasa. Ikatan antara pembesar dan sultan adalah berasaskan kesetiaan. Pembesar mempunyai pengikutnya sendiri yang terdiri daripada golongan rakyat. Rakyat biasanya dikerah tenaga dan harta benda untuk pembesar dan sultan.

1. Struktur Politik
Menurut Ramlan Surbakti (1999 : 1) bahawa definisi politik adalah interaksi antara pemerintah dan masyarakat dalam rangka proses pembuatan dan pelaksanaan keputusan yang mengikat tentang kebaikan bersama masyarakat yang tinggal dalam suatu wilayah tertentu. Menurut F. Isjwara, (1995 : 42) politik ialah salah satu perjuangan untuk memperoleh kekuasaan atau sebagai teknik menjalankan kekuasaan-kekuasaan.
Politik dari sudut bahasa yang mudah untuk difahami menurut sebahagian ilmuwan adalah melaksanakan sesuatu dengan memastikan kebaikan pada perkara itu. Manakala dari sudut kemasyarakatan bermaksud mengurus secara bijaksana dan pandangan dengan analisis yang tajam terhadap kesan sesuatu tindakan. Ia juga membawa makna sekumpulan hal ehwal urusan yang berkaitan dengan pentadbiran negara. Politik juga dapat diertikan sebagai satu kegiatan ummah menyokong dan mendukung usaha melaksanakan syariat untuk merealisasikan Islam yang syumul dapat dipraktikkan melalui sebuah institusi yang menjadi penerajunya. (Umat dan Negara dalam Syariat Islam karangan Dr. Abdul Karim Zaidan).
Pemikiran politik yang terdapat dalam Misa Melayu kelihatan mewakili campur aduk dua konsep iaitu:
i)        Sultan adalah pemerintah teokratik yang memiliki kuasa mutlak.
ii)      Tanggungjawab raja berunding dan berpakat dengan menteri-menterinya.
Struktur politik Perak pada abad itu memperlihatkan keunikannya. Raja tidak memerintah secara mutlak. Raja hendaklah mendapatkan nasihat pembesar demi kepentingan rakyat. Hal ini dapat dilihat menerusi petikan di bawah.
 “Dalam wasiatnya, Sultan Muzaffar Syah (1752)]… yang beta harap sekarang, baiklah anak kita Raja Mudalah akan ganti kita. Maka hendaklah bicara orang besar-besar dan segala hulubalang pegawai pada memerintahkan takhta kerajaan anak kita dan selenggarakan hukuman negeri ini dan membela segala rakyat di dalam negeri Perak… dan hendaklah muafakat sama-sama kepada barang bicara dengan sekalian orang besar-besar hulubalang dan pada anak raja-raja dan yang memegang agama kita…”
Dalam buku sejarah tentang Perak, Perak mempunyai sistem pewarisan takhta dan penggantian raja dalam satu struktur yang tersusun. Susunan system pewarisan takhta dan penggantian raja dapat dilihat seperti di bawah:
1.      Raja Muda
2.      Raja Bendahara
3.      Raja Di Hilir
4.      Raja Di Baruh
5.      Raja Kecil Besar
6.      Raja Kecil Tengah
7.      Raja Kecil Muda
8.      Raja Kecil Bongsu

Pada amalannya, struktur ini bukanlah suatu prosedur yang ketat dan perlu dipatuhi. Contohnya, pada tahun 1773 Raja Kecil Bongsu ( Raja Ahmaddin) telah dilantik menjadi sultan ada ketika itu. Ini membuktikan tidak semua waris takhta itu perlu menaiki takhta mengikut giliran atau tangga waris takhta itu. Dalam Misa Melayu disebut bagaimana sultan Zulkarnain menyusun jentera pemerintahannya dengan melantik kerabat diraja yang akrab dengannya menyandang gelaran dan jawatan kerajaan. Contohnya, adindanya Raja Kimas yang bergelar Raja Kecil Muda sebagai Raja Muda, raja Alauddin, adinda sultan yang bergelar Raja Kecil Tengah diangkat menjadi Raja Bendahara. Raja Di Hilir disandang oleh Raja Inu yang juga adinda sultan, Raja Muhammad (saudara dua pupu sultan dikurniakan gelaran Raja Di Baruh, Raja Culan kekal sebagai Raja Kecil besar, Raja Ibrahim putera Raja Kimas (Raja Muda) memegang jawatan dan gelaran Raja Kecil Bongsu Muda (Raja Kecil Muda).

2. Sistem Ekonomi
Menurut Adam Smith, ilmu ekonomi adalah ilmu kekayaan atau ilmu yang khusus mempelajari sarana-sarana kekayaan suatu bangsa dengan memusatkan perhatian secara khusus terhadap sebab-sebab material dari kemakmuran, seperti hasil-hasil industri, pertanian dan sebagainya. Sistem ekonomi merujuk kepada satu set institusi sosial yang berkaitan dengan pengeluaran, pengagihan dan penggunaan barangan dan perkhidmatan dalam sesebuah masyarakat. Sistem ekonomi terdiri dari manusia dan institusi, termasuk hubungan mereka dengan sumber produktif seperti harta yang dimiliki. Sistem ekonomi cuba menyelesaikan masalah ekonomi melalui cara yang sistematik untuk pembahagian sumber yang terhad.
Dalam Misa Melayu, telah membuktikan kehadiran system ekonomi feudal yang menetapkan raja dan pembesar memonopoliatan  kegiatan tersebut, manakala rakyat sekadar bekerja dan menjalankan suruhan pembesar semata-mata. Maka, rakyat yang menginginkan kehidupan yang senang, mereka haruslah pandai dalam mengampu orang-orang besar serta raja mereka. Hal in dapat dibuktikan melalui teks di bawah:
“ …baginda menitahkan Tambi Kecil pergi ke benua keling (India). Adapun akan Sultan Iskandar itu, terlalu banyak baginda menaruh gajah. Maka itulah baginda menitahkan  Tambi Kacil pergi akan mengambil barang siapa mahu membawa kapalnya masuk berniaga ke dalam negeri Perak ini, karana baginda hendak berjual gajah,”
halaman 78
Semasa keberangkatan menjelajah negeri Perak atau bermain ke laut, Sultan Iskandar telah menjual bijih timah kepada Belanda di Tanjung Putus. Ini dapat dibuktikan menerusi pantun yang terdapat dalam Misa Melayu. Pantunnya berbunyi:
Timah dibawa duli baginda,
Beberapa ratus baharanya ada,
Diurap rial kepada Holanda,
Supaya suka di dalam dada.

Hubungan ekonomi dengan orang Belanda menjadi kukuh akibat monopoli eksport bijih timah. Bijih dijual kepada Belanda 30 rial satu bahara dengan dua rial cukai yang dibayar oleh sultan.

Misa Melayu ada menyebut tentang urusan perdagangan dengan Belanda pada abad ke-18. Pada awalnya, pusat pengumpulan bijih timah orang Belanda di perak ialah Tanjung Putus, kemudian mereka telah memohon kepada sultan untuk mendirikan kota dan bangunan di Pangkalan Halban di Kuala Perak. Dalam urus niaga dagangan kapal, semua kapal dagangan dari luar negeri Perak perlu mendapatkan kebenaran sultan. Dalam sistem ekonomi feudal, sultan dan pembesar negeri adalah orang yang memonopoli eksport dan import. Kemakmuran ekonomi yang dikecapi negeri Perak telah menyebabkan ramai pedagang berniaga di negeri itu. Bijih timah dan gahjah telah menjadi sumber ekonomi negeri. Selain Belanda, pedagang luar yang ramai ialah dari india, manakala pedagang dari kepulauan Melayu pula ialah dari kawasan Sumatera dan Makasar.

Estetika dan kepengarangan dalam Misa Melayu

1. Seni Kepengarangan

Konsep
Kaedah penulisan yang terkandung dalam Misa Melayu juga seakan-akan dengan Salalatus Salatin. Pengarang Misa Melayu iaitu Raja Chulan menghasilkan karya tersebut dengan rendah hati setelah menerima titah sultan pada zaman itu. Bagi menghasilkan karya yang terbaik, Raja Chulan turut menjalankan penyelidikan dan rujukan. Ia dapat dibuktikan dengan meneliti penggunaan klausa dalam karyanya misalnya seperti klausa ‘tersebutlah perkataan’, ‘diceritakan oleh orang empunya cerita’ dan ‘tersebutlah kisah’. Penggunaan ini adalah kerana Raja chulan menghasilkan Misa Melayu ini berdasarkan cerita benar dan ia memerlukan pengalaman dan pengamatan terhadap peristiwa-peristiwa yang berlaku pada zaman tersebut.

Kekuatan kepengarangan
Nilai kepengarangan yang terdapat dalam Misa Melayu juga amat tinggi. Misa Melayu menggunakan tarikh yang tepat walaupun penggunaan tarikh bagi menyatakan peristiwa tidak banyak seperti karya-karya lain. Misa Melayu juga mengandungi ciri pensejarahan Islam dalam penulisannya. Ini dapat dilihat melalui penggunaan lafaz bismillah pada awal penulisannya. Selain itu, Misa Melayu juga menggunakan kata-kata lain yang menggambarkan unsur islam misalnya seperti ‘dengan izin Allah’. Penggunaan kata-kata yang berunsurkan islam ini mungkin disebabkan oleh pengetahuan pengarangnya hasil daripada pembacaan terhadap karya pensejarahan Melayu-Islam atau hasil daripada pendidikan Islam yang diterimanya.
            Karya ini juga mempunyai kelainan dan keistimewaan yang tersendiri. Misa Melayu tudak mempunyai unsur-unsur mitos atau dongeng kerana karya ini merupakan karya penting negeri Perak. Karya yang mengandungi sejarah negeri Perak ini tetap menggunakan pantun dan syair sebagai penyeri karya. Karya ini mengandungi peristiwa yang benar-benar berlaku dan dapat memberi gambaran kepada pembaca mengenai sruktur politik kerajaan, kegiatan ekonomi, undang-undang dan lain-lain perkara tentang pemerintahan Perak pada zaman itu. Salasilah keluarga dan jurai keturunan kerajaan Perak, susunan pembesar, kerajaan negeri, struktur masyarakat, adat istiadat, dan bentuk kesenian yang wujud pada zaman tersebut juga turut tercatat dalam Misa Melayu ini.
            Penggunaan syair dalam karya ini juga bukan untuk tujuan hiburan semata-mata kerana ia mengandungi pelbagai keterangan peristiwa sejarah tentang kerajaan Perak pada zaman tersebut. Kesahihan peristiwa dalam karya ini dapat dibuktikan dengan merujuk kepada beberapa sumber lain seperti sejarah Belanda. Persamaan ini dapat mengukuhkan lagi ketepatan maklumat dalam Misa Melayu dan jelas menunjukkan kesedaran dan pengetahuan mendalam pengarangnya dalam sejarah ini.


Motif pengarang
Karya Misa Melayu ini ditulis kerana ingin menurut titah sultan pada zaman tersebut. Ini jelas dapat dilihat dalam Misa Melayu dengan serangkap syair yang ditulis oleh Raja Chulan. Pengarangnya dengan rela hati menerima arahan untuk menghasilkan karya ini kerana beliau ingin menyebarkan tentang kegemilangan sesebuah zaman pemeritahan seseorang raja kepada generasi muda. Hal ini dapat dibuktikan dengan satu frasa dalam karya ini iaitu ‘supaya bolehlah akan zaman kita disebut orang kelak’.

1. Estetika
Dari segi penilaian nilai estetika dari sudut gaya bahasa pula terdapat beberapa gaya bahasa yang jelas dilihat iaitu gaya bahasa perbandingan, gaya bahasa pertentangan, gaya bahasa pertautan, dan gaya bahasa perulangan, serta beberapa unsur-unsur lain yang terkandung dalam karya Misa Melayu.

·         Gaya Bahasa Perbandingan
Gaya bahasa perbandingan atau dikenali sebagai majaz perbandingan merupakan penggunaaan bahasa yang bersifat membandingkan dua hal yang pada hakikatnya perkara yang berlainan atau dengan sengaja menganggapnya sama. (Anton Moeliono, 1989:67)

·         Gaya Bahasa Pertentangan
Gaya bahasa pertentangan atau dikenali sebagai majaz pertentangan merujuk kepada penggunaan kata atau frasa yang saling bertentangan, dari segi makna sama ada secara simbolik, tersurat atau tersirat dalam struktur ayat yang sama atau yang berhubungan.

·         Gaya Bahasa Pertautan
Gaya bahasa pertautan atau dikenali sebagai majaz pertautan merujuk pada hubungan pertautan makna, sama ada bersifat simbolik, perumpamaan atau tamsilan.

·         Gaya Bahasa Perulangan
Gaya bahasa perulangan atau dikenali sebagai skema perulangan merujuk kepada perulangan kata atau frasa yang menghasilkan kesan makna, nada, dan bunyi yang puitis, berirama, atau pelbagai.

·         Unsur-unsur lain
Dalam Misa Melayu, dapat dilihat dengan jelas penggunaan pengaruh islam, Bahasa Melayu lama, dan unsur perkataan asing yang telah dimelayukan. Contohnya ialah:

PERKATAAN
MAKSUD
menaruh riyal
menyimpan/menggunakan duit riyal
surat ciri
Surat perlantikan
tiada sangka
tiada terhingga
Baur
alat kebesaran
Gedung gelap
penjara
Kurang nazarnya
Kurang pertimbangannya
Berhati salah
Nilai tidak baik
milawati
Menara kawalan
Karallah
Menara kawalan
berpontoh
Bergelang besar
Balai lepu
Balai tengah
Toleh tenggala
Jam 9:00-11:00 pagi

Selain itu, pengarang juga turut menggunakan dialek Perak dalam menghasilkan karya ini. Contoh dialek perak yang terdapat dalam Misa Melayu ialah:

DIALEK
MAKSUD
Mike
kamu
Celung
kandang   
merosok
menyembunyikan

Nilai Budaya dan Pandangan Hidup dalam Misa Melayu

1. Nilai Budaya
Budaya boleh didefinisikan sebagai kemajuan fikiran, akal budi atau cara berfikir, berkelakuan dan sebagainya. Budaya boleh didefinisikan sebagai suatu cara hidup yang diamalkan oleh kumpulan tertentu dan meliputi sistem sosial , agama, adat resam dan nilai. Misa Melayu juga mempunyai nilai-nilai budaya negeri Perak yang diketengahkan oleh pengarangnya. Misa Melayu yang merupakan penulisan berkaitan sejarah negeri Perak turut cuba memperlihatkan beberapa nilai budaya yang menjadi amalan golongan masyarakat pada masa itu. Karya ini turut menonjolkan beberapa nilai budaya yang diamalkan oleh golongan diraja pada zaman tersebut. Antaranya seperti adat meminang dan berkahwin, adat bertindik dan berinai, istiadat perarakan raja berangkat, , istiadat menjunjung duli,  dan juga istiadat kemangkatan dan berkabung serta menurunkan tambak serta batu nisan.

Adat meminang dan berkahwin

Perkahwinan dalam masyarakat Melayu merupakan satu peristiwa yang sering dilakukan dengan mengikut adat yang telah ditetapkan dan telah menjadi budaya dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu pada masa itu . Majlis perkahwinan yang dijalankan sering kali mendapat perhatian dan dijadikan salah satu peristiwa yang penting dalam masyarakat. Hal ini demikian kerana upacara meminang dan berkahwin mempunyai adat dan persiapan yang teliti perlu dilakukan untuk memastikan upacara berkenaan berjalan dengan lancar dan meriah. Misa Melayu  menonjolkan adat-adat yang dijalankan oleh golongan diraja iaitu adat meminang dan berkahwin dengan upacara yang penuh gilang gemilang.

 Hal ini menunjukkan bahawa adat meminang dan berkahwin yang dijalankan pada hari ini sudah bermula pada zaman dahulu lagi. Selain itu, adat ini juga tidak hanya melibatkan golongan tertentu sahaja. Perkahwinan berlaku tidak kira sama ada pasangan tersebut terdiri daripada golongan marhaen mahupun bangsawan. Misa Melayu lebih menonjolkan  perkahwinan yang berlaku dalam kalangan kerabat diraja. Antaranya perkahwinan antara  Raja Muda Iskandar puteri Sultan Muzaffar iaitu Raja Budak Rasul. Hal ini dapat dilihat dalam teks di bawah:

 “Sepeninggalan ayahandanya, Raja Muda (Raja Muda Iskandar) semakin hari semakin besar pengaruhnya dan sangat disayangi oleh rakyat. Dan Sultan Muzaffar Syah pula bercita-cita hendak menyatukan puterinya, Raja Budak Rasul dengan Raja Muda . Cita-cita ini dipersetujui oleh Raja Muda. Selepas diadakan istiadat meminang yang sangat meriah kemudian diikuti pula dengan istiadat bertindik puteri yang baharu bertunang itu, maka pada akhir tahun yang ketiga pertunangan itu, disatukanlah puteri Raja Budak Rasul dengan Raja Muda .”
(Misa  Melayu)           

Adat bertindik dan berinai

Adat bertindik dan berinai juga sudah dijalankan dalam masyarakat pada zaman feudal lagi. Adat ini turut diteruskan pada hari ini namun adat tersebut disesuaikan mengikut syariat Islam dan tidak menyerupai agama lain. Adat bertindik dapat dilihat dalam Misa Melayu melalui peristiwa  bertindik yang dijalankan ke atas Taja Budak Rasul. Manakala adat berinai selalunya dilakukan sebelum majlis perkahwinan diadakan dan majlis berinai dilakukan oleh pihak sebelah perempuan. Adat ini dijalankan  terhadap pengantin perempuan kira-kira dua hari sebelum akad nikah dan ia sering dilakukan pada waktu malam. Selain itu , adat yang dijalankan dalam kalangan golongan diraja turut memperlihatkan upacara yang gemilang diadakan.
Hal ini dapat disaksikan berdasarkan bukti tatkala siang hari sebelum majlis berinai, inai pun diarak masuk ke dalam istana. Inai itu dibubuh di atas kepala seekor kera Hanuman yang diletakkan di atas perarakan lalu diarak. Hal ini jelas menunjukkan betapa kuatnya pengaruh agama Hindu pada waktu pemerintahan diraja Perak. Upacara bertindik pula dilakukan pada keesokan harinya . Anak raja akan diarak sebanyak tujuh kali keliling kota di atas gajah kenaikannya lengkap dengan alat pawainya dan payung yang  keemasan dan tunggul panji-panji dan alam barnaga. Setelah itu, anak raja tersebut akan  dimandikan dengan air yang diarak juga. Kemudian baru upacara bertindik dijalankan. Hal ini dapat dibuktikan dalam teks di bawah.

“ Selepas diadakan istiadat meminang yang sangat meriah, kemudian diikuti pula dengan istiadat bertindik puteri yang baharu bertunang itu, maka pada akhir tahun yang ketiga pertunangan itu disatukanlah Puteri Raja Budak Rasul dengan Raja Muda. “
(Misa  Melayu)           

Istiadat Perarakan Raja Berangkat

Istiadat perarakan raja berangkat bermaksud apabila seseorang raja ingin berlayar ataupun ingin ke negara luar atau pun mempunyai urusan di negeri lain maka istiadat berarak raja berangkat akan diadakan. Hal ini ingin menonjolkan taraf seseorang raja terhadap raja sebagai pemerintah yang perlu diberikan penghormatan dan taat setia yang tidak berbelah bagi. Hal ini jelas apabila Raja Muda berangkat segala kapal pun ditunda dan semua kelasi akan mengiringkan kenaikan baginda ke dalam kapal tersebut. Apabila raja tiba nakhoda kapal akan memasang bedil bagi menyambut kedatangan baginda. Selain itu, sesudah baginda ingin turun dari kapal maka sekali lagi akan dipasangkan meriam bagi menunjukkan keberangkatan baginda..Misa Melayu turut merakamkan aspek ini melalui teks di bawah.

“ Adapun Laksamana dan Syahbandar , setelah sampai kepada kapal itu, bersama-sama dengan Raja Mutabar Khan  lalu naiklah ke atas kapal .Maka sangat dimuliakan oleh nakhoda  kapal itu akan Laksamana dan Syahbandar. Setelah itu, dilayarkanlah kapal itu masuk ke Kuala Perak sampai ke dalam sungai. Maka keesokan harinya maka menghadaplah nakhoda itu kepada Raja Muda oleh Orang Kaya Laksamana dengan Syahbandar serta ia membawa persembahan mana kadarnya .Setelah nakhoda itu menghadap tuanku Raja Muda maka Raja Muda pun berangkatlah kembali.maka kapal itu pun ditunda oleh segala kelasi mengiringkan kenaikan baginda itu. Setelah sampai ke Kuala Bidor maka kapal itu pun berlabuhlah di pelabuhan kapal dahulu-dahulu. Setelah kapal itu berlabuh maka Raja Muda pun berangkatlah ke dalam kapal itu bermain-main diiringkan adinda baginda dan segala hulubalang pegawai. Maka oleh nakhoda itu pun dipasanglah segala bedil di dalam kapal itu akan menyambut baginda itu. Maka disambutnyalah dengan beberapa dengan beberapa takluk khidmatnya akan Raja Muda. Setelah sudah Raja  Muda pun berangkatlah turun dari kapal itu. Maka oleh nakhoda itu pun dipasangnya pula meriam alamat baginda turun dari kapalnya. Setelah itu maka baginda pun berangkatlah naik ke Pulau Indera Sakti.
(Misa  Melayu)           
Istiadat Kemangkatan

Kematian tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan manusia. Kematian turut  menjadi peristiwa yang memberi erti yang cukup besar dalam kehidupan seseorang. Hal ini turut terjadi  tidak kira sama ada seseorang itu  mempunyai kedudukan atau tidak. Misa Melayu turut memperlihatkan peristiwa kematian turut berlaku dalam watak- wataknya. Istiadat kemangkatan dijalankan apabila berlaku seseorang raja atau kerabat diraja mangkat. Istiadat kemangkatan juga terdapat dalam Misa Melayu iaitu apabila mangkatnya Sultan Muhamad Syah. Contoh dapat dilihat melalui teks di bawah.
“... Maka kepada suatu hari, baginda itu  pun geringlah terlalu sangat. Maka baginda pun kembalilah ke rahmatullah Taala. Setelah sudah baginda itu hilang, diperintahkan oleh anakanda baginda semua rakyat hadir berhimpun di Pulau Tiga. Setelah itu diperbuatlah dengan seperti adat istiadat raja-raja yang besar-besar mangkat. Maka sudah ditabalkan lalu diarak dengan seperti adatnya lalu ke makam baginda dan beberapa sedekah akan segala alim ulama dan fakir miskin di sepanjang jalan itu itu emas dan perak dihamburkan dengan selengkap alatnya dan beberapa pula sedekah akan orang yang sembahyang terlalu banyaknya . setelah sudah dikuburkan adinda baginda itu maka Sultan Muzaffar Syah pun kembalilah dengan percintaan baginda serta memberi takziah akan adinda baginda itu :tujuh hari baginda berhenti tiada nobat.”
(Misa  Melayu)           
Istiadat Menjunjung Duli

Istiadat ini dilakukan untuk memperlihatkan ketaatan  kepada raja. Pengarang Misa Melayu memperlihatkan istiadat ini melalui peristiwa menjunjung duli yang dilakukan oleh Raja Muda dan anak-anak raja. Adat ni dilakukan mengikut taraf masing-masing dan bermula raja-raja dan anak –anak  raja diikuti golongan bangsawan dan seterusnya pembesar-pembesar pada waktu pemerintahan tersebut . Hal ini dapat dilihat melalui contoh yang dinukilkan oleh pengarang dalam teks di bawah.
“….Setelah itu, maka turunlah seorang bentara dipersilakan Raja Muda. Maka naiklah Raja Muda menjunjung Duli Yang Maha Mulia. Kemudian segala raja-raja dan anak-anak raja pun diseru oleh kepala bentara dari atas balai dipanggil naik. Maka naiklah berganti-ganti menjunjung duli baginda. Kemudian maka orang besar-besar pula menyembah dan segala bentara hulubalang pula berganti-ganti menjunjung duli baginda. Setelah sudah sekaliannya habis menjunjung duli baginda maka semuanya pun duduklah beratur di balai.
(Misa  Melayu)           

2. Pandangan hidup
Pandangan hidup merupakan satu konsep yang menunjukkan sesebuah masyarakat secara keseluruhan yang dapat dilihat melalui satu sudut pandangan. Pandangan hidup ini ini jelas terpengaruh melalui satu sistem teras dalam sesebuah masyarakat seperti pengaruh agama atau sistem nilai dalam sesebuah masyarakat itu sendiri.
Dalam teks Misa Melayu itu sendiri, terdapat banyak peristiwa yang menggambarkan hidup masyarakat pada ketika itu. Misalnya penggunaan syair dalam bahagian kedua teks ini yang menceritakan tentang perjalanan ‘Sultan Iskandar Bermain-main ke Laut’ dalam bentuk rangkap-rangkap syair. Sudah tentu sukar bagi kita untuk menyampaikan sesebuah cerita secara terperinci apatah lagi diceritakan dalam bentuk rangkap-rangkap syair. Setiap perkataan yang dipilih pula perlulah tepat dan terperinci penulisannya. Hal ini sudah menunjukkan betapa masyarakat Melayu pada ketika itu yang sangat teliti dan bijak orangnya. Contohnya :

                        Muafakatlah kita tiga bersaudara,
                        Segala wazir menurut bicara,
                        Seisi negeri di dalam pelihara,
                        Sedikit pun jangan diberi cedera.

                        Telah mendengar titah sedemikian,
                        Menjunjung kadam dari sekalian,
                        “Patik nan hamba awal dan kemudian,
                        Sebarang titah sahaja dilayan.”

                        Berdatang sembah sekalian rata,
                        Ke bawah hadirat duli mahkota,
                        “Tuanku raja sempurna takhta,
                        Di manalah titah membuat kota?”       
(Misa  Melayu)           

Rangkap syair ini bukan sahaja sebagai salah satu ciri kebijaksanaan masyarakat ketika itu menyusun atur kata-kata, namun juga turut menunjukkan ketaatan para pembesar raja ketika itu yang menurut titah raja. Ini menunjukkan mentaati titah diraja itu yang menjadi salah satu nilai yang penting kepada masyarakat di sekelilingnya. Titah diraja ini dapat dikatakan sebagai satu ‘center’ atau pusat nilai yang penting dalam sesebuah institusi kerajaan.
Dalam teks Misa Melayu, diceritakan peristiwa baginda raja Sultan Iskandar Zulkarnain yang menginginkan untuk mendirikan mahligai tujuh tingkat yang mempunyai reka bentuk dan hasil pertukangannya sama seperti yang diceritakan dalam hikayat-hikayat sebelumnya. Namun oleh kerana rekaannya yang sangat sukar hendak dibangunkan, tiga orang pembesar yang bertanggungjawab iaitu Bendahara, Temenggung dan seorang menteri yang lain terpaksa meletakkan jawatan kerana tidak sanggup untuk menunaikan permintaan baginda. Walau bagaimanapun, istana itu akhirnya dapat dibina mengikut permintaan Sultan Iskandar Zulkarnain.
Peristiwa ini menunjukkan betapa titah pemerintah itu wajib untuk ditaati oleh setiap golongan anggota masyarakat. Pandangan hidup masyarakat melayu tradisional yang amat menghormati dan mentaati perintah pemerintah amat tebal dalam setiap rakyatnya.
Selain itu, pandangan hidup juga merupakan satu konsep yang dikongsi bersama oleh anggota masyarakat bagi menunjukkan pusat penyelesaian bagi setiap masalah yang berkaitan dengan ketuhanan, manusia dan masyarakat. Jika dahulu, pandangan hidup masyarakat Melayu tradisional tertumpu kepada kelangsungan hidup melalui alam, namun kini pandangan hidup itu kemudian berkembang dan melalui pelbagai evolusi seperti zaman kesultanan Melayu Melaka, kemudian zaman pemerintahan penjajah dan seterusnya menuntut kemerdekaan sehinggalah kepada sistem pemerintahan kontemporari.
Pandangan hidup manusia terutama masyarakat Melayu itu sendiri tidak lagi hanya bergantung kepada alam semata-mata namun lebih kepada pandangan liberal. Namun begitu, pandangan hidup Islam tetap menjadi akar umbi dalam masyarakat Melayu. Jika dahulu, idea dan falsafah Melayu tradisional menggunakan alam sebagai satu bentuk sumber inspirasi, kini ia berubah kepada sesuatu yang lebih konkrit. 
Lebih mudah jika dikatakan Misa Melayu itu sendiri menggambarkan cerminan yang tepat bagi pandangan hidup masyarakat Melayu tradisional, khasnya bagi rakyat Perak itu sendiri. Misa Melayu banyak memfokuskan kepada sistem pemerintahan dan kehidupan orang –orang istana. Hal ini sangat bertepatan dengan sejarah Perak kerana pengarangnya juga merupakan seorang cendekiawan yang bertugas di istana.
Dalam teks Misa Melayu, sistem politik dan pemerintahan merupakan gabungan daripada pertembungan antara budaya tamadun Islam dan Hindu. Sistem pemerintahan beraja itu sendiri datangnya dari tamadun Hindu yang mempercayai raja itu merupakan jelmaan dewa-dewa yang turun ke bumi. Sistem pemerintahan ini mempunyai beberapa peringkat tertentu yang telah ditetapkan dengan kaum kerabat diraja sahaja. Walaupun sistem pemerintahan dalam Misa Melayu bersifat mutlak, namun ada ketikanya perlunya perbincangan dan rundingan raja dengan para pembesarnya.
Hal ini turut dinyatakan dalam Misa Melayu ;

“Dalam wasiatnya Sultan Muzaffar Syah(1752)…
yang beta harap sekarang, baiklah anak kita Raja Mudalah akan ganti kita. Maka hendaklah bicara orang besar-besar dan segala hulubalang pegawai pada memerintahkan takhta kerajaan anak kita dan selenggarakan hukuman negeri ini dan membela segala rakyat di dalam negeri Perak… dan hendaklah muafakat sama-sama hulubalang dan pada anak raja-raja dan yang memegang agama kita …”
(Misa  Melayu)           
Dalam potongan teks di atas, ditunjukkan kepentingan tanggungjawab seseorang pemerintahan untuk bermuafakat dengan para pembesarnya. Hal ini menunjukkan pandangan hidup Islam yang turut ada dalam sistem pemerintahan dalam Misa Melayu itu sendiri. Pemerintahan beraja dari tamadun Hindu digunakan sebagai sistem pentadbiran namun undang-undang atau hukum hakamnya diambil dari agama Islam itu sendiri.
Selain itu, umum mengetahui struktur politik di Perak mempunyai keunikannya tersendiri. Dalam teks Misa Melayu sendiri ditunjukkan raja tidak memerintah secara mutlak sepenuhnya. Sistem perwarisan takhta dan penggantian raja juga disusun mengikut struktur yang berikut ;

                                  i.            Raja Muda
                                ii.            Raja Bendahara
                              iii.            Raja Di Hilir
                              iv.            Raja Di Baruh
                                v.            Raja Kecil Besar
                              vi.            Raja Kecil Tengah
                            vii.            Raja Kecil Muda
                          viii.            Raja Kecil Bongsu

Walaupun struktur ini telah diwujudkan, tiada prosedur yang ketat perlu dipatuhi. Hal ini demikian kerana raja memegang kuasa mutlak untuk melantik sesiapa sahaja daripada kalangan kerabatnya untuk menyandang gelaran dan jawatan. Malah wujud peristiwa Sultan Iskandar Zulkarnain melantik adindanya Raja Kimas atau Raja Kecil Muda menjadi Raja Muda, Raja Alauddin iaitu Raja Kecil Tengah menjadi Raja Bendahara.
Perkara yang penting dalam perwarisan takhta atau penggantian raja adalah semasa penabalan sultan baharu sebelum pengebumian sultan yang terdahulu. Sebelum seseorang sultan yang sebelumnya dikebumikan, bakal sultan mestilah menghadiri pengebumian sultan tersebut. Hal ini jelas diterangkan dalam peristiwa kemangkatan Sultan Muzaffar Syah yang kemudiannya digantikan oleh Raja Muda dengan gelaran Sultan Iskandar Syah.
Peristiwa ini membawa kepada peristiwa beberapa orang besar-besar dilucutkan jawatan kerana gagal menghadirkan diri semasa upacara pengebumian. Pada ketika ini juga baginda Sultan Iskandar Zulkarnain mengurniakan pangkat dan jawatan kepada beberapa orang rakyatnya.
Selain itu, orang yang gagal hadir pula dikenakan hukuman setimpal seperti diikat kaki dan tangan dijemur di tengah padang. Namun akhirnya mereka diampunkan kesalahan.
Dalam sistem pentadbiran, seperti anugerah jawatan dan pangkat, sudah tentu wujudnya gelaran-gelaran kebesaran yang disesuaikan dengan jawatan seseorang pembesar. Gelaran-gelaran ini juga menunjukkan kekuasaan seseorang yang dipilih oleh raja itu sendiri. Contoh gelaran yang dianugerahkan kepada orang tertentu yang ditetapkan oleh raja sendiri dalam Misa Melayu seperti;

“Maka zaman itu diperbuat pula bendahara Megat Pendialah menjadi Bendahara, gelarnya Paduka Seri Maharaja; dan Orang Kaya Besarnya Tan Marasin, gelarnya Orang Kaya Besar Seri Maharaja Diraja,; dan Temenggungnya Tan Bantan, gelarnya Temenggung Paduka Raja; dan Menterinya Orang Kaya Syarif Husain, gelarnya Menteri Seri Paduka Tuan. Setelah itu, maka tetaplah kerajaan Muzaffar Syah di dalam negeri Perak; tiadalah siapa-siapa menghuru-hara di dalam negeri ini lagi.”
(Misa  Melayu)           
Gelaran kebesaran dan pangkat yang diberikan oleh raja ini merupakan salah satu bentuk pandangan hidup yang menunjukkan hubungan manusia dengan pemimpin. Mereka menjadikan titah seseorang pemerintah sebagai pusat untuk menjalankan peranan sebagai rakyat yang taat setia. Selain itu, pandangan hidup cara Islam dan Hindu juga terbukti dalam bentuk undang-undang dan struktur politik yang tertulis dalam Misa Melayu itu sendiri.

Nilai  Ilmu  dalam  Misa  Melayu
Menurut  Kamus  Dewan  Edisi  Keempat  (2010),  perkataan  nilai  merujuk  kepada  darjat,  kualiti,  mutu  dan  taraf.  Dalam  bidang  sains  sosial,  nilai  boleh  didefinisikan  dalam  tiga  konteks  utama,  iaitu  sebagai  sifat  bagi  menyatakan  kepentingan  atau  manfaat  sesuatu  objek,  menyatakan  kadar  harga  atau  markah  sesuatu  objek  berbentuk  berbentuk  kuantiti dan  sebagai  ukuran  atau  piawaian  kepada  sesuatu  kelakuan  manusia.  Nilai  juga  diistilahkan  sebagai  ‘al-qimah’  dalam  bahasa  Arab  yang  lebih  merujuk  kepada  harga  yang  ditetapkan  atau  diletakkan  pada  sesuatu.  Nilai  juga  bersifat  aksiologi  dan  mempunyai  hubung  kait  dengan  falsafah  nilai.  Nilai  membolehkan  manusia  membezakan  antara  yang  baik  atau  buruk  dan  betul  atau  salah.
            Menurut  Kamus  Dewan  Edisi  Keempat (2010),  ilmu  bermaksud  pengetahuan  dalam  perkara  dunia,  akhirat,  zahir,  batin  dan  lain-lain.  Oleh  itu,  dapatlah  kita  simpulkan  bahawa  ilmu  adalah  hal  yang  berkaitan  kerana  pemerolehan  ilmu  itu  dan  usaha  kita  menyebarkannya  kepada  orang  lain  dalam  bentuk  pelbagai  maklumat.  Maklumat  yang  disebarkan  mengandungi  pelbagai  fungsi. 
Antara  fungsi  sesuatu  ilmu  itu  ialah   disebarkan untuk  menambah  ilmu  pengetahuan  dan  mengembangkan  lagi  perkara  yang  mengandungi  pelbagai  kemusykilan  dan  lain-lain.  Dalam  Misa  Melayu,  ilmu  yang  ingin  dikaji  ialah  ilmu  pentadbiran  atau  sistem  beraja,  ilmu  firasat,  ilmu  sejarah  dan  ilmu  ekonomi.

1.  Ilmu  pentadbiran  atau  sistem  beraja
Pentadbiran  boleh  didefinisikan  sebagai  perbuatan  melaksanakan  urusan,  mengelola,  atau  menjalankan  sesuatu  pejabat,  kerajaan  dan  lain-lain  lagi.  Definisi  lain  yang  lebih  mudah  ialah  pentadbiran  ialah  perlakuan  untuk  mengurus  atau  bertindak  sebagai  ejen  dalam  hal  ehwal  fungsi  pentadbiran  atau  fungsi  kerajaan.  Sebagai  contoh,  dalam  Misa  Melayu  telah  diwujudkan  sistem  beraja  yang  mengikut  susunan  yang  telah  diatur  dengan  baik.  susunan  tersebut  ialah:
Ø Raja  Muda
Ø  Raja  Bendahara
Ø  Raja  Di  Hilir
Ø  Raja  Di  Baruh
Ø  Raja  Kecil  Besar
Ø  Raja  Kecil  Tengah
Ø  Raja  Kecil  Muda
Ø  Raja  Kecil  Bongsu

Misa  Melayu  telah  membuktikan  bahawa  sistem  perwarisan  takhta  dan  penggantian  raja  Perak  ialah  dalam  satu  struktur  yang  tersusun.  Nama  raja-raja  Perak  yang  diceritakan  dalam  Misa  Melayu  ialah  Sultan  Mudzafar  Shah 111  (1728-1744),  Sultan  Iskandar  Dzulkarnain  Shah  (1750-1765),  Sultan  Mahmud  Shah  (1765-1773)  dan  Sultan  Alauddin  Mansur  Shah  (1773-1786).  Kesemua  sultan  ini  adalah  pemerintah  yang  berpusat  di  Barhaman  Indera /  Berahman  Indera  yang  kini  lebih  dikenali  sebagai  Bota,  Pulau  Tiga,  Pulau  Indera  Sakti,  Pasir  Pulai  dan  Pulau  Besar  Indera  Mulia.  Hal  ini  menunjukkan  kawasan  persekitaran  tempat-tempat  tersebut  adalah  kawasan  kediaman  raja-raja  dan  pembesar  Melayu  di  negeri  Perak  sekitar  awal  abad  ke-18  lalu  sebelum  pusat  pemerintahan  tersebut  berpindah  ke  Kuala  Kangsar  sehingga  ke  hari  ini.  sehingga  kini,  masih  terdapat  banyak  makam  raja-raja  Perak  di  Bota,  Pulau  Tiga,  Kampung  Gajah,  Pulau  Juar,  Pasir  Pulai,  Bandar  Baharu  dan  Belanja.  Kesultanan  Perak  mempunyai  wilayah  kekuasaannya  yang  tersendiri  yang  sering  disebut  secara  umum  dalam  Misa  Melayu  sebagai  “segenap  teluk  rantau  dan  anak-anak  sungai”  atau  “segala  anak  sungai  segala  teluk  rantau  jajahan  negeri”. Dalam sistem kesultanan Perak, seorang Raja Muda adalah bakal sultan, orang yang akan menaiki takhta apabila sultan yang ada mangkat. Selaku bakal sultan, Raja Muda harus mempersiapkan diri dengan segala ilmu yang penting ketika itu agar dapat meneruskan tugas pemerintahan dengan baik apabila tiba masanya menjadi sultan kelak. Antara persediaan seorang Raja Muda yang utama termasuklah memiliki perwatakan dan keperibadian yang mulia agar dikasihi oleh rakyat, tahu adat istiadat negeri, mendalami ilmu agama, pandai bertutur kata, dan barangkali juga memiliki kemahiran dalam ilmu persenjataan dan sebagainya. Mengikut pandangan Raja Chulan, segala sifat yang istimewa ini kelihatannya telah dimiliki oleh Raja Iskandar.

2. Ilmu  firasat
Menurut  Kamus  Dewan  (2010),  firasat  ialah  pengetahuan  mengenai  tanda-tanda  pada  muka,  badan  dan  lain-lain  untuk  mengetahui  kelakuan  atau  nasib  orang.  Tilikam  atau  ramalan  ahli  nujum  itu  berkaitan  dengan  ilmu  firasat.  Menurut  Sulastin  Sutrisno,  orang  yang  mempunyai  ilmu  tersebut  dapat  merasa,  melihat,  atau  mengetahui  terlebih  dahulu  segala  sesuatu  yang  akan  berlaku.  Melalui  ilmu  firasat  juga,  seseorang  itu  akan  dapat  mengetahui  kelebihan  dan  kelemahan  orang  lain,  antaranya  berdasarkan  nama,  haru  atau  ketika.  Dalam  Misa  Melayu,  ilmu  firasat  dapat  dikenal  pasti  menerusi  perbualan  Sultan  Iskandar  dengan  pawangnya  berkenaan  keinginannya  untuk  mencari  ikan  di  sungai. 

Maka  titah  baginda,  “Hai  Sang  Paya  Indera  dan  Sang  Paya  Diraja,  di  mana  sungai-sungai  yang  baik  beta  hendak  menuba?”  Maka  sembah  pawang  kedua  itu,  “Tuanku,  ampun.  Kepada  pemandangan  patik  sekalian,  sungai  yang  baik  dan  ikannya  banyak  Sungai  Budimanlah  yang  patut  tuanku  berangkat  bermain-main  membawa  adinda  baginda  sekalian.”
                                                                                                (Misa  Melayu)           
Melalui  teks  di  atas,  jelas  menunjukkan  bahawa  pawang  berkenaan  mempunyai  ilmu  firasat  iaitu  dengan  hanya  melihat  kawasan  dan  keadaan  sungai  terbabit,  mereka  sudah  mengetahui  keadaan  serta  ikan-ikan  yang  berada  di  dalam  sungai  terbabit. 



3. Ilmu   sejarah
Hakikatnya, Misa Melayu adalah sebuah sejarah Perak dari awal hinggalah zaman pemerintahan Sultan Alauddin Mansur Syah. Tetapi tumpuan diberi kepada era Sultan Mudzafar Shah dan Sultan Iskandar Dzulkarnain. Manakala, sultan-sultan Perak yang lain sama ada pada peringkat awal atau selepas mereka disebut secara ringkas. Pengkisahan bermula dari Al-Marhum Jalilullah yang mempunyai beberapa orang putera. Selepas baginda, takhta kerajaan diganti oleh Marhum Besar, Sultan Mahmud yang dikatakan memerintah selama 120 tahun. Baginda diganti oleh Sultan Alauddin Riayat Shah yang memerintah selama 20 tahun. Selepas kemangkatan baginda, negeri Perak telah terbahagi kepada dua wilayah politik, iaitu Kuala Kangsar yang diperintah oleh Raja Inu, bergelar Sultan Mudzafar Shah dan, Pulau Tiga yang diperintah oleh Raja Bisnu  yang   bergelar Sultan Muhamad Shah.
Atas usaha dan kebijaksanaan Raja Iskandar, putera pertama Sultan Muhamad Shah, maka Perak telah disatukan semula. Raja Iskandar banyak berjasa   dalam  bidang   politik   kepada pemerintahan Sultan Mudzafar Shah; misalnya, menentang serangan   atau  campur tangan Sultan Berkabat, iaitu seorang raja Minangkabau bersama-sama dua orang putera Raja Bugis, iaitu Daeng Matkah dan Daeng Menchelak. Pada era pemerintahan Sultan Mudzafar Shah juga telah berlaku satu percubaan pemberontakan diketuai oleh Raja Alam bersama-sama orang Bugis tempatan. Raja Alam tidak berpuas  hati dengan keputusan Raja Iskandar yang  tidak membenar beliau mengikuti Sultan Mudzafar Shah untuk berpindah ke Kuala Kangsar. Raja Alam mencari  bantuan kuasa Belanda, akhirnya, Raja Alam telah ditangkap dan dibuang ke Melaka. 
Selepas kemangkatan Sultan Muhammad, ayahanda Raja Iskandar, maka Sultan Mudzafar telah mengahwinkan puterinya, Raja Budak Rasul dengan Raja Iskandar   iaitu  Raja Muda. Selepas kemangkatan Sultan Mudzafar, Raja Muda Iskandar ditabalkan menjadi Sultan, bergelar Sultan Iskandar Dzulkarnain Shah Khalifat Ur-Rahman. Pengkisahan era pemerintahnya dibuat dengan panjang dan terperinci berbanding dengan era sultan-sultan yang sebelum dan selepas baginda.
Sultan Iskandar memerintahkan ibu negeri Perak dipindahkan dari Brahman Indera ke Pulau Chempaka Sari. Tetapi rancangan itu tergendala buat beberapa ketika kerana timbulnya persengketaan kecil di antara Perak dengan orang-orang Belanda, kerana angkara seorang juru bahasa bernama Pir Muhammad. Pulau Chempaka Sari kemudiannya ditukar namanya menjadi Pulau Indera Sakti dan bandarnya dinamakan   Bandar Makmur.
Selain daripada itu dinyatakan juga tentang usaha gigih pembinaan masjid di Pulau Indera Sakti pada saat-saat hari raya haji menjelang tiba. Dimuatkan juga kisah baginda mendirikan sebuah mahligai tujuh tingkat yang dikatakan belum pernah lagi dibina oleh sultan-sultan sebelumnya. Mahligai itu telah digambarkan sebagai sebuah mahligai yang terlalu istimewa seni binaannya dan dianggap akan jadi ingatan kepada zuriat baginda pada masa akan datang.
Baginda Sultan Iskandar memerintah selama 14 tahun. Baginda telah digantikan pula oleh Sultan Mahmud Shah. Tidaklah banyak peristiwa yang dicatatkan dalam zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah ini. Antaranya ialah Raja Selangor datang mengadap dan diberi gelaran Sultan Salehuddin serta berkahwin dengan sepupu Sultan Mahmud Shah. Selepas kira-kira 8 tahun memerintah, baginda diganti  oleh adindanya, Sultan Alauddin.

4. Ilmu  ekonomi
Pada zaman pemerintahan Sultan Mudzafar Shah  negeri Perak membuat hubungan diplomatik dengan Belanda. Melalui hubungan tersebut Belanda telah berjaya memonopoli pasaran bijih timah yang dibawa keluar melalui Sungai Perak. Mereka membelinya dengan harga $30.000 sebahara dan Sultan akan menerima cukai sebanyak $2.00 bagi setiap bahara. Bagi menjaga kepentingannya pihak Belanda telah mendirikan sebuah benteng ataupun loji perniagaannya di Pengkalan Halban, Tanjong Putus. Perjanjian di antara Belanda dengan negeri Perak telah diadakan khususnya dalam bidang perniagaan yang berkaitan dengan bijih timah. Sedikit sebanyak, dengan kegiatan perniagaan bijih timah itu telah membawa kemakmuran kepada negeri Perak pada ketika itu.  Masyarakat  pada  ketika  itu  menggunakan  sistem  ekonomi  feudal.  Dalam  sistem  tersebut,  sultan  dan  pembesar  negeri  adalah  orang-orang  yang  memonopoli  eksport  dan  import. Manakala,  rakyat  biasa  sekadar  pekerja  dan  menjalankan  suruhan  pembesar  semata-mata.   Pedagang  luar  juga  datang  berdagang  ke  negeri  Perak  pada  ketika  itu.  Ia  dapat  dilihat  menerusi  petikan  teks  ini  :
“Adapun  pada  masa  itu  Holanda  dan  orang  Cina  dan  orang  Keling  pun  semuanya  datang  persembahkan  segala  permainannya  berbagai-bagai  rupanya  dan  lakunya.”
(Misa  Melayu)

Di bahagian yang lain pula diceritakan tentang kedatangan utusan perdagangan Belanda dari Betawi yang diketuai oleh R.E.F. Lybroke. Tujuannya ialah membeli bijih timah. Namun  begitu,   mereka mahukan agar bijih timah tersebut dihantar ke lojinya di Tanjung Putus untuk ditimbangkan di situ. Sultan Iskandar tidak bersetuju sebaliknya baginda mahu supaya ia dilakukan di Tanjung Bidor. Berikutan itu pihak Belanda cuba menggertak dengan menembak ke arah Shahbandar dan Menteri, kononnya kerana mereka enggan menerima pelawaan kapitan Belanda untuk naik ke kapal mereka. Kejadian itu telah menimbulkan kemurkaan Sultan Iskandar. Namun pihak Belanda kemudiannya memberi alasan bahawa mereka sebenarnya tidak mempunyai niat untuk menembak Shahbandar dan Menteri sebaliknya hanya ingin menembak monyet. Mereka seterusnya memohon keampunan daripada Sultan. Berikutnya keadaan hubungan dua pihak menjadi tenang semula.

No comments:

Post a Comment